Pandora Papers: Siasat sekali BNM, LHDN, JSJK – Anwar

Pandora Papers: Siasat sekali BNM, LHDN, JSJK – Anwar

HULU SELANGOR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia untuk memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan ‘Pandora Papers’ membabitkan bekas pemimpin negara.

Bagaimanapun, beliau menggesa pelbagai agensi yang berkaitan dan bertanggungjawab seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau mendedahkan isu Pandora Papers sudah pun dibangkitkan sejak 2012, namun tiada maklum balas mengenai siasatan diterima.

“Saya akan beri kerjasama apa yang ada tambahan yang lebih, tetapi seperti kita tahu satu badan antarabangsa buat, sepatutnya SPRM menyegerakan (siasatan) sebab kes ini bukan baharu.

“(Pandora Papers) keluar daripada Global Financial Integrity yang saya telah bongkar di Parlimen minta siasatan sejak 2012. Bila ditanya baru hendak buka fail (siasatan) itu problem sedikit. Tetapi saya alu-alukan keputusan SPRM untuk siasat. Saya tiada masalah (untuk dipanggil memberi keterangan),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perasmian Wisma SP Care dan Majlis Penghargaan Barisan Hadapan di Wisma SP Care, Serendah di sini hari ini.

Terdahulu, SPRM dilapor meminta kerjasama daripada Anwar berhubung pendedahan tentang ‘Pandora Papers’ yang didedahkannya dalam Parlimen dengan mengutuskan notis usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun baru-baru ini.

Bagaimanapun pada 7 Oktober lalu, beliau merayu supaya isu berkenaan dibenarkan untuk dibahas di Dewan Rakyat selepas usul tersebut ditolak Azhar Azizan pada hari sebelumnya.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Isnin lepas memaklumkan, BNM sedia memberi kerjasama kepada agensi penguatkuasaan berhubung isu berkenaan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Port Dickson ketika berucap dalam Majlis Perasmian Wisma SP Care memberikan analogi tentang ‘Pandora Papers’ dengan menceritakan kisah mitos Greek mengenai ‘Pandora’s Box’  yang dibuka oleh seorang wanita dipenuhi perasaan curiga.

“Pandora Box berkaitan seorang gadis muda tetapi ada keinginan untuk mengetahui, tahan dan tahan akhirnya buka juga, bila buka box itu, banyak syaitan, iblis dan kejahatan dan semangat syaitan keluar menjadi masalah.

“Jadi mesej kita, kebetulan nama Pandora Papers, memang cerita penyamun, penyangak dan perasuah, hantu yang banyak yang menggunakan kedudukan mereka, merampas kekayaan negara dan sorok di luar,” ujarnya.

Anwar sebelum ini membangkitkan isu ‘Pandora Papers’ yang mendedahkan individu mempunyai akaun luar pesisir seperti bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan beberapa ahli keluarganya serta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.-UTUSAN ONLINE

Sumber kandungan: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/10/pandora-papers-siasat-sekali-bnm-lhdn-jsjk-anwar/



Message Us on WhatsApp