17 Oct ‘Kita akan gempur Melaka’- Anwar
HULU SELANGOR: Meskipun menyifatkan keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai tergopoh-gapah, pembangkang akan menggempur negeri tersebut dalam usaha menawan kembali Melaka yang sebelum ini di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pembangkang , Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memaklumkan partinya bersedia untuk menggempur kawasan DUN di negeri berkenaan, namun tidak memaklumkan mengenai pengagihan kerusi.
“Walau bagaimanapun, PH akan hadapi sebagai satu pasukan dan kita akan gempur Melaka, banyak isu yang kita akan bangkitkan,” ujarnya
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Wisma SP Care di Serendah, Rawang di sini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui, pengasas SP Care, Dr. Sathia Prakash Nadarajan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr. Harry Dinesh.
Mengulas lanjut beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebenarnya satu ancaman kepada rakyat berpunca daripada sikap empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu menarik sokongan kepada Ketua Menteri tanpa mengira situasi wabak pandemik dan kadar vaksinasi di sana.
Tindakan ahli politik itu juga didakwa tidak mencerminkan semangat gencatan politik yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan menerusi perjanjian persefahaman (MoU) antara pembangkang dan kerajaan.
Justeru, beliau menyifatkan tindakan pembubaran DUN sebagai gopoh-gapah serta tidak mengikut peraturan.
“Kita nasihatkan kerajaan ancaman kepada kesihatan rakyat, tetapi oleh kerana telah diumumkan secara gopoh-gapah dan mengikut nasihat yang salah, tidak ikut peraturan, umum terus bubar, tak panggil semua ADUN tidak ikut proses, inilah bencananya sekarang dan pengajaran kepada kita.
“MoU memang tak ada sebut tentang negeri, tetapi semangat MoU itu nampak diketepikan juga kerana kalau semangat MoU itu ketelusan, perbincangan dan muafakat ini tidak berlaku dalam kes Melaka,” katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengumumkan keputusan dibuat Mohd. Ali membubarkan DUN Melaka Ke-14 selepas berlaku krisis membabitkan empat orang ADUN menarik sokongan terhadap kerajaan.
ADUN terbabit adalah, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), ADUN Pantai Kundor, Nor Azman Hassan, Datuk Nor Effandi Ahmad (Teluk Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat esok berhubung pembubaran itu dan mengumumkan tarikh PRN Melaka.- UTUSAN ONLINE
Sumber kandungan: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/10/kita-akan-gempur-melaka-anwar/